Thursday, January 20, 2011

~Meniti Kehidupan~…(episod 1)

Hujan yang turun seakan-akan tidak mahu berhenti tetkala tibanya musim tengkujuh menyebabkan aku terpanggil untuk mencoretkan sebanyak mungkin memori indah sepanjang kehidupan aku meniti usia remaja yang tiada penghujungnya. Nikmatnya semasa usia remaja, semua perkara menjadi indah tatkala diri ini bergelar remaja. Ada apa dengan remaja? Bagi pendapat diriku sendiri, remaja merupakan rentetan hidup yang berkeinginan, berkehendak, tidak lari juga dikatakan usia muda darah manislah kata orangkan. Semua perkara ingin di capai dan digapai tidak terkecuali juga alam percintaan. Kalau ditanya, adakah anda mempunyai teman lelaki atau tidak? Bohonglah sekiranya ada sesetengah remaja zaman sekarang menidakkan perkara sebegitu. Begitu juga dengan aku, alam percintaan yang aku pernah lalui bagiku adalah sangat manis tetapi adakah ianya berpanjangan? Sudah semestinya alam percintaan semasa di bangku sekolah dikatakan sebagai cinta monyet. Amat indah sekali bagi sesiapa yang merasainya. Akan tetapi ada juga impak yang negatif terhadap alam percintaan yang dikatakan sebagai “cinta monyet”.


       Coretanku kali ini bukan semata-mata khayalan tetapi ianya merupakan suatu kebenaran yang memberi banyak pengajaran kepada diriku yang baru mengenal erti kehidupan yang sebenarnya. Alam remaja yang kulalui tidaklah seperti sesetengah remaja diluar sana. Penuh dengan keseronokan, kebahagian, kemewahan dan segala-galanya yang menjadi impian remaja masa kini. Tetapi kurasakan malang bagi diriku kerana menjangkau sahaja usia remajaku penuh dengan onak dan duri yang terpaksa kulalui walaupun perit pedihnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Di alam persekolahan, bermulanya rentetan hidup yang aku perlu lalui apabila aku terpaksa berpisah dengan kedua-dua ibu bapaku kerana aku terpaksa tinggal di asrama kerana bakal menduduki Peperiksan Menengah Rendah (PMR). Saat itu kurasakan suatu kehilangan buat kali kedua dalam hidup aku. Hal ini kerana aku dahulunya terpaksa tinggal bersama-sama dengan nenekku dan kini sekali lagi aku terpaksa berjauhan dengan orang yang tersayang iaitu ibu bapaku walaupun sedari dulu lagi aku bukan tinggal bersama mereka. Aku juga tidak mengerti dan tercari-cari sebab dan musababnya aku dipisahkan oleh mereka. Hingga kini persoalan itu masih bermain-main di fikiranku. Masa yang berlalu pantas menyebabkan aku tinggalkan persoalan itu dengan seribu pertanyaan. 


           Selama tiga tahun aku tinggal di asrama SMKTG, banyak perkara yang telah aku pelajari selain akademik, kokurikulum dam erti hidup yang sebenarnya. Susah senang kehidupan ini bergantung sendiri kepada tahap kemampuan seseorang itu menghadapinya dan usaha yang berterusan akan mengubah sesuatu mimpi menjadi realiti. Bukan mudah untuk seorang remaja yang berfikiran sepertiku yang hanya memikirkan perkara negatif tentang kedua-dua ibu bapaku. Tetapi dalam masa yang sama, jauh disudut hatiku sangat-sangat menyayangi mereka dan juga nenek yang telah membesarkanku. Aku biarkan ianya berlalu tanpa mahu membebankan otakku untuk terus memikirkannya. Sepanjang alam persekolahanku diperingkat menengah telah banyak perkara yang ku pelajari dan rasai seperti remaja yang lain. Dalam pelajaran aku tidaklah sepandai dan sebijak rakan-rakanku yang lain tetapi usaha dan cabaran membuatkan aku untuk mengubah fikiranku supaya tanpa usaha yang berterusan mustahil semuanya akan menjadi realiti suatu hari nanti. Berbekal juga cabaran yang membuatkan diriku tercakar dan terpukul dengan kata-kata seseorang insan yang amat kusanyangi. Kata-kata beliau merupakan satu cabaran bagiku walaupun sehingga kini ianya masih kekal diingatanku. “Along hanya kelas sastera, mampukah along pergi lebih jauh? Sedangkan hanya pelajar-pelajar kelas Sains sahaja mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi?”. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di mindaku walaupun secebis dendam terpahat. Biarlah ianya menjadi rahsia siapa insan yang kusayangi yang telah mengeluarkan kata-kata yang berbentuk suatu cabaran.


           Tatkala itu aku biarkan kata-kata itu berlalu sebagai tanda perjuangan aku bermula. Aku berusaha bersungguh-sungguh seperti pelajar yang lebih bijak daripada aku walaupun kadang-kadang aku merasakan diri ini tidak mampu untuk berjuang untuk mengubah pemikiran insan yang beranggapan bahawa aku tidak mungkin boleh berjaya seperti orang lain. Hari demi hari yang ku lalui penuh dengan cabaran dan dugaan yang bertimpa-timpa tanpa di duga. Adalakanya ku rasakan sia-sia sahaja berhempas pulas berusaha untuk berjaya tetapi apakan daya keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang ku perolehi tidak memberansangkan. Aku hanya memperoleh 2A3B2C1D. Betapa kecewanya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku tidak mampu memperolehi keputusan yang cemerlang yang diidam-idamkan oleh ayahku. Kecewa ku hanya sekejap sahaja dan aku tidak peduli lagi sekiranya aku memperolehi keputusan yang sebegitu.....BERSAMBUNG....

No comments:

Post a Comment